IRSYAD FATWA KE-58: HUKUM MENGHISAP SHISHA
Apakah hukum menghisap shisha?
JAWAPAN
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang diadakan pada 17 Julai 2013 bersetuju memutuskan shisha adalah haram.
Kami menukilkan jawapan dengan sedikit penambahan pandangan daripada Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz antara lain menyatakan: Menghisap Shisha dan segala jenis-jenisnya termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan kerana kedua-duanya mengandungi kemudaratan yang banyak. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk perkara tersebut. Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang menudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisaop shisha supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut kerana firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمْ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah, “Yang dihalalkan bagi kamu adalah yang baik-baik.”
(Surah al-Maidah: 4)
Dan firman Allah SWT lagi:
وَيُحِلُّ لَهُمْ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمْ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: Dan dia (Muhammad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka.
(Surah al-A’raaf: 157)
Al-Maraghi berkata: “Al-Khaba’ith ialah ada kaitannya dengan makanan iaitu makanan menurut perasaan yang sihat, tidak suka makan bangkai dan darah yang mencurah. Begitu juga ditolak oleh akal sihat kerana berbahaya bagi tubuh seperti daging babi, iaitu jika dimakan akan menimbulkan cacing tertentu, atau kerana membahayakan agamamu (iman), seperti sembelihan yang disembelih untuk mendekatkan diri (korban) kepada selain Allah SWT dengan cara yang bersifat penyembahan (ibadah). Adapun yang berkaita dengan harta, al-Khaba’ith, harta yang diperolehi dengan cara yang tidak benar seperti riba, rasuah, berlebih-lebih, mencuri, merampas dan lain-lain”.
Seperkara lain yang perlu diberi perhatian, tiada satu kajian saintifik pun menunjukkan ia sebagai penyembuh penyakit dan ubat yang mujarab. Bahkan, kenyataan yang dinukilkan lebih bersifat dakwaan serta andaian semata-mata.
Shisha termasuk dalam perkara buruk yang memudaratkan manusia. Justeru, shisha adalah haram dengan dua ayat Quran di atas apabila diperhati maksud kedua-duanya. Kita memohon kepada Allah SWT memberi petunjuk kepada orang Islam mengenai apa yang baik dan yang dapat menyelamatkan mereka. Juga memohon agar Allah melindungi mereka daripada perkara-perkara yang memudaratkan mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik tempat memohon.
Kami juga telah menerima banyak maklumat dari timur tengah dan juga ramai pakar yang kemudaratan shisha telah diperakui, justeru sudah sampai masa pengharaman shisha agar budaya ketagih yang tidak sihat ini dapat dibendung dalam masyarakat Malaysia.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
14 Syawal 1436 bersamaan 30 Julai 2015
No comments:
Post a Comment